Oct 8, 2013

Kurela Mengalah Selalu

Kau jadikanku boneka untuk menghilangkan rasa sunyimu yang telah lama tersimpul. Dan aku menerima tanpa banyak pinta, bibir ini dipaksa juga untuk melukis senyuman manis, biarpun cukup terasa pahitnya.

Kau berdiskusi tentang sakitnya cinta yang telah kau lalui. Walaupun hatiku telah lama merasai betapa kotornya cinta itu. Melihat engkau tersenyum sudah memadai buatku, itu tandanya kau telah merasai nikmat hidup kembali.

Aku tidak menyekat perkembanganmu kerana aku mahu kau bebas, seperti terbang nya burung di awan. Biarpun diriku terpateri kukuh dalam sangkar yang kau cipta sendiri. Sekali kau bebas, pergilah... andai itu yang terbaik.

Terbanglah ke mana yang kau sukai. Bahkan untuk kembali kepada si dia sekalipun! Ingatlah diri ini tidak pernah terasa dan berkira untuk itu. Bahkan juga aku tumpang gembira untukmu. Terpulang padamu untuk kembali kepadaku lagi, kerna... boneka ini sentiasa akan menerimamu dengan penuh terbuka. Andai itu yang sudah tertulis takdir untukku.

Padamu, diriku langsung tiada sebarang kelebihan. Setiap saat, setiap detik kau menceritakan kelebihan mereka. Dan aku tahu, waktu itu kau merendah-rendahkan martabatku sebagai seorang pendamping setiamu. Setiap waktu itu juga, bibir ini digugah juga untuk menguntum senyum biarpun dalam hati cukup terasa perihnya.

Apakah hatimu masih menyayangi mereka? Tidak adakah sekelumit pun perasaan simpatimu untukku? Bukan kuminta banyak... cukuplah hanya secebis sahaja. Agar aku turut merasai sedikit rasa kemanusiaan.

Dihadapan umum, kau mengherdikku tanpa henti. Entahlah, mungkin bagimu itu satu gurauan sahaja. Tapi buatku itu cukup hina. Namun, apa dayaku ini. Hanya mampu terus terkaku, terdiam dan menunduk menahan rasa hati yang disiat-siat olehmu tanpa sedar. Aku tahu kau sedar itu. Jika tidak, tak kan terus dan terus kau mengherdikku bagaikan tiada harga diri. Rupanya maruah seorang boneka hanya ditelapak kaki sahaja layaknya.

Tika itu jika kau nak tahu, hatiku menangis dan meraung. Malu, kau tahu? Malu!!! Maruahku diinjak sebegitu. Yang lain hanya memandangku sambil ketawa. Tapi aku sabar, kerana  dari dulu aku terus bersabar. Kerna, perasaan hormatku untuk yang lebih tua masih ada!

Kau juga harus tahu, boneka ini bernyawa. Boneka ini punya hati dan boneka ini juga punya rasa. Setiap masa, boneka ini hanya makan hati. Sakit melapah hati yang telah busuk! Hari demi hari, hati boneka ini terus menjadi keras. Dan mungkin satu saat nanti kau akan merasai, apa itu erti kesakitan! Boneka yang kau ciptakan ini akan melapah engkau!

Setiap kali aku cuba terbang dan melangkah dari sangkar, kau akan meyekatku. Pabila engkau melihatku tersenyum bersama orang lain, pasti wajahmu akan berubah garang. Engkau marah aku bersuka ria dengan orang lain. Aku hanya hak kau, dan akan terus kekal hak kau! Tapi apa yang aku dapat? Herdikan dan bahan ejekan kau semata-mata!

Salahkah aku mendapatkan sedikit hiburan dari mereka. Mengubat hati yang sakit atas perbuatanmu sendiri. Bukan selamanya kuminta. Hanya sekejap sahaja. Lima minit sudah mencukupi untukku.

Kehidupan boneka rupanya langsung tiada harga.  Baru kusedar itu. Biarpun sudah berkali-kali diri ini mengingatkan hati. Akhirnya memakan diri jua.

Hello 2023